Kumpulan kertas-kertas tersusunan antara rapi dan tidak. Setiap helainya menanggung beratnya titik-titik dakwat yang sudahpun kering. Titik-titik yang membentuk abjad yang hampir dan jauh yang akhirnya membentuk suku kata, perkataan dan seterusnya sebuah ayat lengkap yang menanti untuk menjadi santapan mata-mata manusia. Dalam kesuntukan masa dan kekayaan kata yang setiap helai kertas itu miliki, imaginasi membawa aku kepada sebuah pengharapan kecil yang tidak serius. Pengharapan bahawa sebahagian gabungan abjad bisa terkumpul menjadi semangkuk laksa dan semua noktah menyatu menjadi kuahnya. Sebahagian lagi pula, setiap huruf n yang ada menjadi nasi dan yang lain menjadi lauknya yang pelbagai. Sejumlah lain pula bergabung menjadi segelas besar air bandung. Nombor-nombor muka surat yang tersisa pula menjadi cincau lembut yang lemas dalam merah jambunya bandung tadi. Dan aku, aku hanya perlu menikmati setiapnya agar esoknya bisa menjawab soalan dengan penuh jaya.
No comments:
Post a Comment