Memori

Hati-hati mencipta memori.

Kadang dari menjadi gula-gula dan pelangi menghiasi hari
ia bisa jadi seperti keris tajam baru ditempa menghiris hati.

Kadang dari kebahagiaan
ia bisa jadi sesalan.

Kadang dari menjadi sebab kau senyum
ia bisa jadi sebab air mata kau asyik bertakung.



nota kaki: tidak bisa diaplikasi secara meluas, cuma untuk kes-kes terpencil.

Ingatkan

Perempuan, bila dia cinta, cenderung mahu cuba yakinkan kamu betapa dia mampu menjadi pendamping terbaik hingga hujung usia. Kadang hingga dia terlupa pendamping terbaik itu, pabila dengan ajnabi, bijak menjaga batasnya...
...dan bahawasanya kamu masih seorang ajnabi.

Ingatkan dia, bukan cela.

Diakah?

Bukan tentang sama ada dia atau dia atau dia.
Tapi tentang kamu, iman dan jiwa.

You don't attract what you want, you attract what you are.

Menjauh

Rasa seperti gelap masa lalu datang hampir.
Rupanya hati yang menjauh dari cahaya.

Sudahlah

Pesan perempuan itu:

Sudah sudahlah hidup dalam angan.
Sudah sudahlah hidup dalam kenangan.

   sudah 2013
dan masih?

Dengki


Kau rasa Tuhan salah turunkan rezeki?

Alternatif

Bunga bukan sekuntum.
Kumbang bukan seekor.
Bahagia bukan cuma dari sebuah perkahwinan.

Hargai

Ada orang pandai hargai kita.
Ada orang tidak.

Seharusnya itu tidak buat kita memilih dalam menghargai, kan?

Sakit

Entah siapa buat spekulasi seolah aku langsung tak sakit meninggalkan
suatu yang pernah erat jiwa aku rangkul.
Mungkin aku pandai bersolek.

Betapa aku harap spekulasi itu suatu yang hakiki. Ah.

Payah

Tak mudah tak berarti harus mengalah.
Tak harus mengalah tak berarti tak harus rebah.
Andai rebah, bangun semampu gagah, terus melangkah.

Kalah lahiriah ada banyak rupa.
Kalah dalam jiwa, perlu jaga-jaga
- pilihan empunya badan.


Ini sejambak kata yang mahu aku lempar pada muka sendiri bila jatuh.

adat

Biar mati adat, jangan mati akidah.

Adat itu kebiasaan.

Kata cerdik pandai,
biasakan yang betul.
betulkan yang biasa.



foul

If foul words
leaves an extremely foul smell 
to the mouths that speak
to the fingers that type,

maybe there'll be less
'sore eyes'
'sore ears'
and sore hearts....?




4:148

Berat

Berat mata memandang derita saudara di Palestin, di Syria.
Berat lagi bahu memikul tanggungjawab pada saudara sebumbung, senegara.

Lafazkanlah

Malu mungkin sekali cuma.
Menyesal itu bisa selamanya.

Lafazkanlah.

Bersedia

Tiada istilah 'belum bersedia'.
Cuma mahu, tidak mahu atau belum mahu.


Kedekut

Maaf, aku tak mahu kongsi kamu.
Izin aku kedekut, ya?

Baik

Bukan status. Tapi, proses.

Cinta Qaseh

Oleh kerana sering tertonton iklannya, aku hampir ingat satu baris skrip. Pengaruh media.

"Saya tak mampu jadi Shah Jehan yang bina Taj Mahal untuk perempuan yang dicinta. Saya cuma lelaki biasa yang mahu membina kenangan bersama awak."

Lebih kurang.

Sengaja aku ulang bila iklan itu tiba.

Kata kawan aku - "Bukan. Saya tak mampu jadi Shah Jehan. Saya cuma mampu jadi Shah Jaszle."

Ya, nampak realistiknya disitu. Kena juga rimanya.

Media

Adapun suatu hari itu aku menonton kotak hitam bercahaya dan bersuara yang mensajikan aku sebuah drama. Aku tonton bersama satu perempuan kecil, 9 tahun usianya.

Selepas mendengar dialog watak-watak cerita, perempuan kecil itu lontarkan pada aku satu soalan yang bikin aku seketika tergamam.

"Rogol tu apa?"



Perkataan itu, aku harap itu kali terakhir anak saudara aku sebut.

Peraturan

#1 Aku percaya, bila sampai masa Tuhan buka hijab akal terhadap hikmahNya, manis itu pasti bisa telan sepahit apa pun rasa.

#2 Bila aku ragu, lihat #1

Pertemuan

Setiap manusia yang kau jumpa pasti akan ajar kau sesuatu. Tidak banyak, sikit. Tidak besar, kecil. Dan untuk itu, adalah wajar kau bersyukur.

Aku pernah jumpa satu manusia. Yang ajar aku tidak sikit, banyak. Tidak kecil, besar. Semua itu barangkali aku cuma bisa lupa jika dihadiahkan amnesia. Pelajaran terakhir, adalah yang paling perit - melepaskan manusia itu pergi tanpa menoleh ke belakang. Maka merontalah aku untuk bersyukur.

Aku percaya, Tuhan tak buta pada ronta. Kabur juga tidak.
Tiada kekuatan melainkan dariNya.

AIDS

Acquired Immune Deficiency Syndrome.
Angkuh Irihati Dengki Sombong.
Satu bisa jadi kaffarah dosa.
Satu bisa jadi penambah.

*batuk*
Aku juga tak begitu sihat.

Lidah

Lidah bisa jadi laksana pedang.
Luka dan parutnya, di hati.

Kalau robek keluar sekalipun, belum tentu kau boleh ubati.

Kuat

Aku lupa dimana aku dengar atau baca -

Manusia kuat itu mampu melawan hukum fizik. They don't put others down to get up, they lift them up instead.

Rasa

Kadangkala, biar dibunuh rasa, asal janji tak didusta. Kerana rasa tak selalu suci dari hati. Banyak kali dari bisik makhluk tersembunyi.

Mula

Aku membesar dalam zaman dimana kau boleh lihat Raihan dalam kotak hitam bersuara, mendendangkan "Dimulakan dengan Bismillah....".