Malam

Gelita merangkak menyelubung hari
Menghembus nyawa pada yang terlarang
Dan lorong-lorong itu penuh lembut mendepa tangan
Menyambut mesra mana-mana insan

Jalan ini buat jiwa yang hilang
Pada mana senyum tak menyapa mata
Cuma topeng yang sorokkan dusta
Nama sekadar nama

Meriah
Namun hanya selimut
buat sunyi nan pekat, kelat

Kelmarin di lorong ini
Dalam mawar-mawar nan ronyok
Jiwanya lemas dalam euforia sementara
Saat mata terbuka, jasad dahaga, jiwa remuk dalam duka
Berkelana
Tiapnya mengejar cita yang sama
Tanpa tahu betapa sianya

Jalan ini buat jiwa yang hilang
Pada mana senyum tak menyapa mata
Cuma topeng yang sorokkan dusta
Nama sekadar nama

Meriah
Namun hanya selimut
buat sunyi nan pekat, kelat

Antara cahaya, antara bayang
Wujud rahsia hitam
Mengapa disitu?
Khabarkan aku wahai malam nan gelita
Khabarkan aku wahai malam yang menyaksi segala

terinspirasikan dari Muskaanein Jhooti Hai.

Peluk

Ada masa
kita cuma mahu memeluk
dan dipeluk
tanpa soal
tanpa bicara
kadang-kadang dengan sedu sedan
kadang-kadang dengan cuma air jernih berlinangan
dan kita cuma mahu dipeluk
dan memeluk

untung-untung
dalam kedekatan yang sebegitu rupa
manusia yang sudi memeluk dan dipeluk itu dapat rasa
semua kata yang tak terucapkan, yang meronta mahu keluar dari dada

Transformasi

Saat aku cuba perosok taufan rasa ke lubuk hati
memang ia masuk meski dengan penuh berontak
hingga kapasiti dada terasa terlalu kecil
dan taufan itu terus keluar
dalam bentuk air jernih
melalui duktus yang memang tercipta untuknya.

Seperti tenaga yang takkan hilang, cuma berubah rupa.

Lebih aman begitu, barangkali.

Janji

"Aku tidak bisa janji...aku tidak bisa janji akan menjadi isteri yang baik tapi aku janji akan selalu mendampingi kamu."

-Ainun, Habibie & Ainun-